Liverpool Perlukan Perubahan Kontrak Penajaan TV

Kehadiran penonton di Old Trafford hari ini akan menarik perhatian anda untuk mengiklankan kerepek kentang jenama Mr Potato. Nampaknya inilah jenama snek popular dari Malaysia. Teruskan meneroka laman sesawang Manchester United dan anda juga akan melihat nama Singha, jenama bir paling popular dari Thailand.

Liga Perdana Inggeris dan kelab elitnya kini menjadi platform pemasaran jenama barangan dari serata dunia, lebih-lebih lagi dari Asia Timur. Kelab bola sepak yang dibentuk pada kurun ke 19 oleh pekerja keretapi Mancunian kini menjadi alat pemasaran untuk perniagaan yang dimulakan di Kuala Lumpur dan Bangkok. Di Manchester United, aset telah diperah semaksima mungkin bagi mencari pendapatan dari serata dunia.

Dan muncul ketua eksekutif Liverpool, Ian Ayre yang mengusulkan bahawa kelab besar Liga Perdana Inggeris harus dibenarkan untuk berunding sendiri tentang hak penyiaran mereka di seberang laut. Beliau mahu kelabnya mencari sumber pendapatan yang lebih besar selain dari saluran sedia ada. Namun cadangan Ayre ini telah disambut dengan pelbagai kecaman dan kritikan.

Namun harus diingatkan bahawa Liverpool adalah kelab pertama yang dikomersialkan. Ayre hanya meneruskan tradisi yang hampir dilupakan. Liverpool adalah kelab British pertama yang memperagakan nama penaja mereka di jersi pasukan pada tahun 1979 apabila mempersetujui kontrak penajaan dengan syarikat eletronik gergasi ketika itu, Hitachi sekaligus menjadi perintis kepada kontrak penajaan dengan syarikat Asia.

Ramai penyokong kelab mungkin mengeluh sebelum tahun 1992 apabila Liga Bolasepak format lama yang didominasi oleh kelab mereka sejak berdekad lalu, terpaksa membuka jalan untuk penubuhan Liga Perdana Inggeris. Bagaimanapun, salah seorang arkitek yang merangka struktur baru bola sepak Inggeris adalah
Noel White, pengerusi dan pengarah Liverpool sehingga tahun 2007. Kelab beliau adalah penggerak utama dalam ‘Big Five’ – Liverpool, Everton, Arsenal, Tottenham dan Manchester United – yang menjadi tunjang kepada penubuhan liga format baru.

Liverpool melangkah ke Liga Perdana Inggeris dengan zaman kemuncak mereka, bersama 18 kejuaraan liga domestik dan penguasaan di saingan Piala Eropah. Kegemilangan ini tidak disusuli dengan sewajarnya. Pemergian Kenny Dalglish selepas pertikaian umum berikutan Tragedi Hillsborough makin memburukkan keadaan. Liverpool semakin jauh ketinggalan dan kegagalan bersaing dengan masa telah membahayakan legasi mereka.

Hanya sejak ketibaan Fenway Sports Group barulah Liverpool sedar akan kewajiban memodenkan aspek pemasaran jenama kelab dan menyaingi apa yang telah lama dilakukan oleh pesaing mereka. Di atas padang, Liverpool hanya sekali menamatkan musim di bawah Manchester United dalam tempoh 20 tahun manakala Chelsea dan Manchester City jauh meninggalkan mereka menerusi pengambilalihan pemilik baru bertaraf bilionair. David Moores, yang mengemudi Liverpool ke era Liga Perdana Inggeris, telah mencuba dan gagal untuk menguruskan kelab dengan tradisinya tersendiri manakala yang lain memandang ke seberang laut untuk mencari pemilik dan penaja baru. Pada tahun 2007, beliau melakukan kesilapan besar dengan menjual kelab kepada George Gillett dan Tom Hicks dan pemilik bersama dari Amerika ini telah membawa Liverpool ke ambang kejatuhan.

Stadium baru yang diimpikan tidak kunjung tiba sedangkan Arsenal telah pun menyelesaikan projek Ashburton Grove. The Emirates bakal memberi jaminan masa depan dan kini the Gunners mengetuai carta pendapatan hari perlawanan di Liga Perdana Inggeris. Kapasiti 44,000 tempat duduk di Anfield terus statik dalam sebuah bandar yang sedang merasai kesan kegawatan ekonomi dunia. Stadium Anfield sendiri terletak di kawasan yang ekonominya paling terjejas teruk di seluruh benua Eropah.

Penjanaan ekonomi tempatan perlu dirangka. Tiada acara seperti Sukan Olimpik yang akan diadakan di sini. Perebutan Stadium Olimpik di antara West Ham United dan Tottenham Hotspurs tercetus dek kerana kesedaran mengenai peluang korporat yang boleh ditawarkan.

Dengan masalah sebegini, Liverpool perlu memandang sumber lain untuk bersaing dari segi kewangan dan dari situ meningkatkan nilai pemilikan kelab. Sudah dua musim mereka tidak beraksi di Liga Juara-juara dan tiada jaminan bahawa mereka akan kembali musim hadapan. Pasaran luar di mana legasi dan jenama kelab kekal utuh, menjadi satu-satunya peluang dan harapan.

Pendapatan penyiaran perlawanan dan pengagihan yang setara pastinya menjadi topik yang dibincangkan oleh setiap kelab. Memang dangkal untuk tidak membincangkannya jika ia boleh menghasilkan potensi pendapatan yang lumayan secara khusus untuk satu-satu kelab. Manchester City dan Chelsea yang memiliki tarikan global yang sederhana mungkin menafikan mereka berminat untuk membincangkannya namun Sir Alex Ferguson pernah mengulas bahawa ketika perjanjian domestik dianggap “adil”, Manchester United berhak menerima bahagian yang lebih dari hak penyiaran mereka berdasarkan jumlah penonton perlawanan yang cukup besar di luar negara.

Cadangan Ayre dianggap sebagai idea dari seorang pengarah urusan kelab yang tamak dan disambut dengan kebimbangan ia akan mencetuskan suasana yang tidak seimbang. Tapi dari kebanyakkan kelab, ia adalah Liverpool yang paling terdesak untuk menjual hak penyiaran seberang laut mereka secara berasingan. Tanpa peluang ini, tempat mereka sebagai kelab elit yang sudah pun goyah akan bertukar menjadi cukup berbahaya.

Disusun dan diolah oleh: Mikael Hidayat

TAK KENAL MAKA TAK CINTA : Lagu Liverpool!

Tak kenal maka tak cinta! Begitu juga bagi semua penyokong-penyokong Liverpool di Malaysia khasnya. Lagu-lagu sorak yag selalu berkumandang di Anfield dan di mana sahaja pasukan Liverpool beraksi menunjukkan perbezaan antara penyokong-penyokong Liverpool dan penyokong kelab-kelab lain di dunia. Ia menjadi bualan sesiapa sahaja yg mendengarnya, dan oleh sebab itulah Liverpool terkenal dengan “12th man” di mana penyokong-penyokong sentiasa memberi sokongan padu setiap kali Liverpool turun beraksi.

Lagu You’ll Never Walk Alone bolehlah dianggap sebagai lagu yang berada di senarai teratas kedudukan lagu-lagu sorak atau chanting di seluruh dunia. Tanyalah sesiapa sahaja penyokong Liverpool di mana sahaja anda pergi, pasti lagu YNWA ini menjadi siulan mereka. lagu ini berasal dari persembahan muzikal “Carousel” yang di persembahkan oleh Rodgers and Hammerstein pada tahun 1945.  Lagu ini dipopularkan semula oleh kumpulan Gery & The Peacemakers yang berasal dari Liverpool pada tahun 1963 dan tidak menunggu lama untuk dijadikan “Liverpool Anthem” di mana penyokong-penyokong Liverpool menyanyikannya sebelum perlawanan bermula. Lagu ini dijadikan ikutan kelab bolasepak lain selepas itu seperti Celtic, Feyenoord, FC Twente, Borussia Dortmund, FC Kaiserslautern, FC St Pauli dan juga FC Tokyo.

Ada beberapa lagu chanting Liverpool merupakan lagu yang diambil dari lagu-lagu lama yang diubah liriknya bersesuaian dengan Liverpool. Contohnya lagu Field Of Anfield Road. Lagu ini diambil dari lagu Field Of Athenry iaitu sebuah lagu Ireland yang menceritakan tentang masalah kebuluran di Ireland pada masa tersebut. Lagu ini digubah semula oleh Pete St. John pada tahun 1979 bersesuaian dengan kegemilangan Liverpool pada era tersebut.

Lagu Poor Scouser Tommy misalnya diambil dari gabungan lagu Red River Valley dan The Sash My Father Wore. Lagu Red River Valley terkenal di bahagian utara benua Amerika di mana dikatakan lagu ini telah dinyanyikan secara meluas di lima wilayah Kanada sebelum tahun 1896 lagi. Ini menguatkan lagi fakta bahawa lagu ini dicipta semasa Ekspedisi Wolseley ke utara Red River Valley tahun 1870 di Manitoba. The Sash My Father Wore pula merupakan sebuah lagu Ireland yang dicipta sebagai memperingati kemenangan King William III di era perang Ireland sekitar 1690 hingga 1691. Lagu ini popular dikalangan Ulster Loyalist (merupakan pihak yang menentang penyatuan Ireland) dan Unionists (pihak yang menyokong kesatuan politik pulau-pulau Ireland dan Great Britain) dan sebahagian Scotland di mana ia juga boleh didengar dinyanyikan oleh penyokong-penyokong Rangers FC.

Lagu We Won It Five Times pula digubah semula dari lagu popular, Sloop John B dendangan The Beach Boys pada tahun 1966. Lagu ini sebenarnya berasal dari lagu rakyat Hindia Barat yang bertajuk The John B. Sails. Ia mula diterbitkan melalui Novel Amekira, Prince Of Eight tulisan Richard Le Gallienne. Ia dimasukkan ke dalam senari koleksi lagu-lagu rakyat Amerika oleh Carl Sandburg pada tahun 1927 sebelum ia dipopularkan semula oleh The Beach Boys.

Menarik bukan fakta-fakta di atas? Saya hanya mengambil sebahagian daripada senarai penuh lagu-lagu Liverpool yang terdapat dalam koleksi kelab. Anda mungkin boleh cuba mencari The Anfield Song Book yang di jual secara online dalam liverpoolfc.tv untuk mengetahui senarai penuh lagu-lagu Liverpool(rasanya masih belum dikemaskini). Untuk mengetahui sejarah lagu-lagu tersebut, saya serahkan pada anda untuk menyelongkar dunia internet ini kerana semua ada di dalamnya. Yang paling penting, adalah satu kerugian jika anda mengetahui lagu-lagu ini tetapi tidak mempraktikkannya semasa menonton perlawanan Liverpool kerana ini adalah salah satu cara untuk menaikkan semangat kita menghadapi pihak lawan(walaupun anda menontonnya di kedai-kedai makan).

Gah bukan letaknya pada jersi anda tetapi pada crest yg tersemat di dada kerana kalau tak kenal, maka tak cinta!

 

Jumpa lagi!!

Mat Wiki.

 

Selamat Ulangtahun Pertama Liverbird Malaysia!

Salam semua penyokong Liverpool di luar sana!!

Pada tanggal 6 Oktober 2011, genaplah setahun usia Kelab Bolasepak Liverbird Malaysia. Pasni ramai yang tertanya-tanya, dari manakah tarikh itu diambil. Tarikh 6 Oktober 2010 adalah merupakan tarikh di mana Pesuruhjaya Sukan Malaysia memperakukan pandaftaran Kelab Bolasepak Liverbird sebagai sebuah kelab sukan yang berdaftar seperti yang tercatat dalam sijil Perakuan Pendaftaran dengan nombor pendaftaran, 3986/2010.

Dalam usia yang baru menjengah setahun ini, pelbagai usaha dilakukan oleh ahli jawatankuasa Liverbird Malaysia dalam meperkenalkan kelab ini di mata peminat-peminat sukan terutamanya penyokong-penyokong Liverpool di tanahair. Dalam keadaan baru merangkak, kami cuba untuk memberi yang terbaik kepada sesiapa sahaja yang berurusan dengan Liverbird Malaysia. Maklumlah, untuk meyakini pihak lain bahawa Liverbird Malaysia mampu pergi jauh dengan usia yang baru menjengah setahun ini mungkin agak sukar.

Bermula dengan cerita-cerita di kafe dan kedai makan selepas menonton perlawanan liverpool, maka tercetuslah idea untuk menubuhkan kelab ini dan Alhamdulillah walaupun banyak rintangan dan cabaran sepanjang setahun ini, kami boleh berbangga dengan pelbagai aktiviti, program dan usaha yang telah dijalankan dalam mengeratkan lagi tali silatturahim antara penyokong-penyokong Liverpool di tanah air.  Bermula di Central, Liverbird Malaysia bergerak ke utara dan kemudian ke pantai timur sebelum singgah di selatan tanahair sehinggalah hari ini, ahli Liverbird Malaysia juga terdapat di sebelah Sabah dan Sarawak.

Kejohanan Futsal di setiap wilayah, Program pembangunan futsal untuk remaja, Live Viewing di setiap wilayah, aktiviti bolasepak dan futsal untuk ahli-ahli, majlis-majlis perjumpaan dan jamuan dan yang paling besar Asian Kopites Festival 2011 serta program-program lain merupakan contoh terbaik untuk kami sajikan kepada ahli-ahli dan yang bukan ahli dalam merealisasikan impian kelab kecil ini. Alah bisa tegal biasa, rata-rata ahli jawatankuasa di setiap wilayah memberikan komitmen yang jitu dalam melicinkan segala program yang dijalankan setakat ini.

Dikesempatan ini, kami di Liverbird Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menggerakkan kelab ini sejak ia ditubuhkan. Segala pengorbanan anda menjadi nadi kukuh buat kami agar terus teguh di sini. Kami juga memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan dalam proses perjalanan kelab ini kerana maklumlah, kami juga manusia biasa. Namun, dengan segala kekurangan inilah yang akan kami kutip buat pengalaman dan panduan di masa akan datang.

Semoga Oktober datang lagi dengan penuh kemeriahan dan diharap  sokongan anda terus bersama di sisi kami di Liverbird Malaysia.

Salam hormat dari kami,

LIVERBIRD MALAYSIA.

 

Oh! Andy Carroll!!

Salam sejahtera semua peminat The Reds!!

Ramai juga yang mengutuk Andy Carroll semalam atas persembahan hambar ketika menentang Wolves di Anfield 24 September yang lepas, tetapi jika dipandang sudut positif, ia bukanlah satu kegagalan dari segi pembelian pemain oleh Kenny Dalglish. Sejak dibeli dengan harga 35 Juta pound, Andy Carroll dikatakan kurang menyerlah jika dibandingkan rakan sepasukan beliau, Luis Suarez.  Statistik jaringan beliau di Newcastle amat cemerlang dengan 11 gol dari 20 perlawanan meletakkan namanya sebagai salah seorang bakal pemenang kasut emas untuk musim lepas. Tetapi lain pula yang berlaku setelah beliau berhijrah ke Liverpool pada Januari 2011. Dalam 16 perlawanan bersama Liverpool Andy Carroll hanya mampu menyumbang 3 gol. Natijahnya, ramai penyokong-penyokong Liverpool memberi komen negatif atas persembahan hambar beliau. Namun, tahukah anda, terdapat juga senarai peledak gol-gol Liverpool dalam musim-musim lepas juga bermula hambar. Berikut adalah statistik jaringan pada musim pertama beberapa penyerang Liverpool termasuk penyerang-penyerang yang berada dalam senarai lagenda :


Penyerang yang betul-betul sesuai dengan corak permainan Liverpool kebanyakannya berjaya menghasilkan gol untuk pasukan dalam tempoh masa yang singkat. Ada juga penyerang yang memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dalam pasukan sebelum memberi impak yang positif untuk pasukan. Terbukti akhir-akhir ini kita disajikan dengan persembahan baik dari Fernando Torres dan juga Luis Suarez. Bagi saya, masih terlalu awal untuk menilai Carroll dengan usia 22 tahun. Cuma kerana harga 35 juta pound itu yang menyebabkan kita mengharap sesuatu daripada beliau. Penilaian anda? Terpulang.. Walk on!!

Muzili Aznor Musa.

Johor Bahru.

REVIEW : Liverpool vs. Wolverhampton : 24 September 2011, Anfield.

Seperti dapat menduga apa yang bermain dalam fikiran penyokong Liverpool FC (LFC) sebelum bermulanya perlawanan antara LFC dan Wolves pada 24/09/2011 yang lalu. Setelah berjaya mengukir kemenangan pada Piala Carling awal pagi Khamis, saya yakin ramai penyokong berharap gandingan Luis Suarez dan Craig Bellamy akan diteruskan pada perlawanan ini. Tetapi, saya suka mengingatkan diri saya dan semua penyokong; King Kenny lebih arif dan memahami kehendak kelab.

Formasi 4-4-2 dalam perlawanan ini menampakkan bahawa KK tidak mahu mengambil risiko. Walaupun Wolves dilihat bukan saingan dan secara logiknya boleh dijinakkan dengan mudah, keputusan 2 perlawanan EPL sebelum ini membuatkan KK lebih berhati-hati. Walaupun masih menggunakan set pemain yang hampir sama semasa kecundang di White Hart Lane, pemain dilihat lebih bersedia untuk menghadapi lawan. Mungkin faktor bermain bermain di laman sendiri juga memberi lonjakan moral yang diperlukan oleh pemain yang nyata moral mereka terjejas teruk terutamanya selepas diratah oleh Spurs minggu lepas.

Secara keseluruhannya, mutu permainan lebih baik berbanding dengan 2 perlawanan lepas tetapi lebih perlahan jika dibandingkan persembahan LFC semasa bertemu Brighton dalam Carling Cup. Namun, tidak adil untuk membandingkan mutu permainan sesebuah pasukan seperti LFC apabila turun menentang pasukan yang masih bermain dalam Liga bawahan. Bermula dengan barisan pertahanan, degupan jantung penyokong LFC lebih normal walaupun diasak beberapa kali oleh pemain Wolves. Kehadiran Martin Kelly memberi kelebihan pada LFC berbanding Skrtel apabila diletakkan disebelah kanan. Kelly dilihat lebih bijak mengekang winger Wolves dari membuat overlapping dan memintas bola sebelum pihak lawan sempat membawa bola masuk ke kawasan penalti. Begitu juga dengan watak Enrique. Pemain ini masih mengekalkan rentak cemerlangnya mengawal kawasan kiri kubu LFC. Riak mukanya langsung tidak menampakkan beliau panik dan sentiasa tenang walaupun kerapkali pressure dilakukan terhadapnya. Sementara Carra dan Skrtel, mereka ternyata lebih sesuai berada ditengah kubu. Percubaan meletakkan Skrtel disebelah kanan semasa perlawanan dengan Spurs menguatkan lagi fakta ini.

Namun disebalik itu, pertahanan LFC perlu belajar dari kesilapan gol yang berjaya dijaringkan oleh Wolves melalui Fletcher. Secara logiknya, gol tersebut tidak sepatutnya berlaku. Bermula dengan Enrique yang hilang kawalan pada bola kerana off-balance, diikuti dengan kejayaan pemain Wolves menghantar bola ke dalam kotak penalti dan disambut dengan mudahnya oleh Fletcher yang tidak dikawal langsung. Kita jangan persoalkan Enrique yang off-balance tetapi kita cari jawapan dimana support yang sepatutnya diberikan oleh Skrtel. Kemudian kita tanyakan pula dimana marking yang sepatutnya dibuat pada pemain lawan yang ternyata berada di DALAM kotak penalti. Inilah kelemahan pertahanan LFC yang sukar diatasi sejak dahulu. Kita akui bahawa era bolasepak sekarang yang sangat jarang mengamalkan man-to-man marking kerana banyak yang memilih kaedah zonal marking. Tapi jika kita lihat semula jaringan Wolves.. Fletcher berada dalam zon siapa? Saya berpendapat, kaedah marking mana yang diamalkan tidak akan berkesan jika barisan pertahanan tidak bergerak seiringan. Bukan menidakkan jaringan tersebut tetapi saya sekeras-kerasnya berpendapat LFC patut mengelakkan gol mudah sedemikian kerana gol-gol sebeginilah yang “ merompak “ peluang kita memenangi EPL pada musim 2009/2010 dahulu.

Untuk barisan midfield, saya akui mereka lebih terancang dalam perlawanan ini. Hantaran dan penguasaan bola lebih baik dan kemas. Adam lebih bijak mengawal arus bola dan menentukan samada perlu terus menyerang atau bertahan di tengah. Juga satu kelegaan di hati penyokong LFC, Adam tampak lebih matang terutamanya dalam terjahan dan membuat tackle. Harapnya Adam belajar dari musibah yang menimpa dirinya minggu lalu. Ditambah pula, Lucas selesa berada dibelakang Adam. Memberi sokongan setiapkali Adam cuba melancarkan serangan dan tahu bila waktu dia perlu ke depan untuk buat susulan serangan. Nasibnya kurang baik apabila placing yang dibuat hasil susulannya bersama penyerang berjaya ditampan keluar oleh penjaga gol Wolves.

Downing juga tidak mengecewakan tetapi Henderson masih tercari-cari sentuhannya. KK telahpun berlaku adil dengan Henderson. Pemain ini pernah diletakkan di kiri, juga di kanan malah pernah digandingkan dengan Adam di bahagian tengah. Tetapi, pemain muda dari Sunderland ini masih gagal memberi impak yang diharapkan oleh KK. Henderson perlukan masa dan saya yakin KK akan dapat mencungkil semula bakat dan kebolehannya yang pernah dipamerkan semasa beraksi dengan pasukan Black Cat dahulu.

Menyentuh tentang masa, perkara yang sama juga patut diberikan pada Andy Carroll. Saya semakin hilang ayat untuk menjawap pertanyaan dari peminat LFC yang berada disekeliling saya yang mempersoalkan peranan Carroll. Saya masih berpegang pada pendirian saya bahawa Carroll adalah pemain yang baik dan berbakat besar. Saya juga masih mempertahankan keyakinan saya seperti yang saya tulis dalam review yang lepas dan memberikan perbandingan serta contoh dengan penyerang lain yang terkial-kial mencari jaringan pada musin pertama bersama pasukan masing-masing. Saya ulangi sekali lagi tentang usaha Thiery Henry selama 2 tahun malah legenda LFC sendiri seperti Ian Rush yang tidak menyerlah pada musim pertamanya bersama LFC.

Saya akui, Carroll tampak perlahan berbanding Suarez. Malah, jauh lebih perlahan dari Craig Bellamy yang berumur lebih tua darinya. Tapi, adakah kelajuan yang kita cari sebenarnya? Jika benar, lebih elok KK membeli Usain Bolt atau setidaknya Watson Nyambek. Penyokong LFC perlu memberi kepercayaan kepada KK untuk menjalankan tugasnya. Masa akan menentukan Carroll akan menjadi lebih baik.

Suarez pula akhirnya berjaya mengatasi kemarau golnya. Walaupun dua kali dinafikan oleh tiang gol dan penjaga gol sendiri, Suarez tidak berhenti berusaha dan dihadiahkan dengan gol yang cantik dalam keadaan sudut jaringan yang sangat kecil. Kerajinannya memberi tekanan yang berterusan pada pertahanan lawan sangat membanggakan. Namun, sedikit kerisauan pada hati peminat apabila dia dilihat kurang senang apabila dikeluarkan. Tindakannya menyepak botol minuman semasa menuju ke bangku simpanan mengundang pelbagai spekulasi. Apa yang boleh difikirkan adalah;
1. tidak gembira dikeluarkan sedangkan dia beraksi cemerlang
2. tidak berpuashati dengan apa yang dirinya sendiri sumbangkan pada perlawanan tersebut
3. sepatutnya Carroll yang perlu digantikan
4. kecewa kerana terlepas beberapa peluang keemasan
5. kecewa kerana tidak dibantu sepenuhnya untuk dia mendapatkan lebih banyak jaringan
Secara peribadi, saya rasa KK membuat keputusan ini kerana memikirkan Suarez telah mendapat 1 kad kuning pada perlawanan yang lepas. Dengan keadaan LFC yang sedang mendahului dan perlukan khidmat Suarez pada perlawanan seterusnya, maka KK membuat keputusan menukarkan Suarez.
dalam masa yang sama, kita berharap KK dapat mendalami masalah ini kerana LFC tidak mampu untuk kehilangan penyerang seperti Suarez. Ditambah lagi Barcelona dan Real Madrid telah mula merangka strategi untuk mengumpan Suarez ke La Liga.

Kerisauan terhadap Suarez dilegakan sedikit dengan kehadiran semula Kapten Fantastik, Steven Gerrard yang juga telah kembali beraksi selama 10 minit terakhir semasa perlawanan pusingan ketiga Piala Carling beberapa hari lepas. Kehadirannya hampir dihiasi dengan jaringan tetapi sedikit tersasar. Saya percaya watak Gerrard akan kembali digunakan semasa pertemuan dengan pasukan jiran, Everton minggu depan.

Pilihan saya untuk man of the match bagi perlawanan ini adalah Luis Suarez. Kerajinan, kepantasan dan kebolehannya member tekanan demi tekanan pada barisan pertahanan memainkan peranan yang besar pada kemenangan LFC kali ini.

Harapnya LFC akan dapat meneruskan rentak permainan yang sama tau lebih baik apabila bertemu dengan Everton minggu hadapan. Kita jumpa lagi.. YNWA!!

FLY HIGH LIVERBIRD!!

Shankly List

Dari Blog Gatal Tangan : Brighton Lwn Liverpool, Percaturan King Kenny.

 

 

Salam ceria kepada semua penyokong Liverpool di luar sana!! Maaf kerana agak lewat update tentang perlawanan midweek Carling Cup tempoh hari. Ini dia satu lagi sumbangan dari Blog Gatal Tangan.

 

Gatal Tangan : Laporan Penuh Perlawanan BrightonLiverpool.

Liverpool bertandang ke Brighton dengan misi untuk layak ke pusingan seterusnya dalam kempen Piala Carling. Namun, misinya bukan sekadar memenangi perlawanan dan mara sahaja, Liverpool perlu melupakan kenangan pahit ketika menentang Tottenham sebelum ini dan perlu meneruskan rentak kemenangan. Sebanyak lebih kurang 6 pemain ditukar berbanding dengan perlawanan menentang Tottenham dan beberapa rumusan perlawanan dikumpulkan Gatal Tangan untuk paparan kita bersama.

1) Pertukaran Pemain Dalam Skuad.

Sepertimana yang kita semua tahu, Adam dan Skrtel tidak boleh bermain akibat dari kad merah dalam perlawanan sebelumnya dan membuka ruang kepada Spearing dan Coates untuk bermain dalam posisi masing-masing. Dan bukannya Spearing dan Coates sahaja berpeluang bermain namun, Kelly, Robinson, Bellamy, Kuyt dan Maxi turut sama dalam kesebelasan utama.

2) Antara Barisan Pemain Yang Mencipta Banyak Peluang Gol.

Banyak gerakkan mencipta jaringan dapat dicipta biarpun hanya dua gol yang berjaya dijaringkan. Kemasukkan Bellamy, Kuyt dan Maxi ternyata adalah antara barisan yang mampu menghasilkan peluang jaringan berbanding yang sebelumnya. Bukannya Adam, Henderson dan Downing tidak bagus cuma, mereka kurang berkebolehan dalam mencipta gerakkan yang baik seperti Kuyt, Maxi dan Bellamy. Jika palang dan tiang bukan penghalang, pastinya Suarez sudah ada nama dalam senarai penjaring dan Bellamy pulang dengan lebih dari satu gol. Sememangnya Kuyt dan Maxi adalah pilihan yang dalam menjana serangan.

3) Bellamy Dan Suarez.

Gandingan mereka dilihat antara serangan duo yang baik dan bertenaga dalam serangan dan pastinya ini adalah pilihan yang baik bagi Dalglish untuk serangan yang lebih mantap. Carroll pula boleh dijadikan pemain gantian dan mungkin berikan dia peluang bermain di Carling Cup berbanding Liga Perdana adalah cadangan yang bernas.

4) Maxi, Kuyt Dan Spearing Buktikan Mereka Adalah Pemain Tengah Yang Baik.

Maxi dan Kuyt adalah antara pemain yang berpengalaman dengan bermain untuk kelab dan negara masing-masing. Ini sudah tentu menjadi panduan kepada mereka ketika bermain dan disitu membuktikan mereka antara pemain yang wajar diturunkan secara kerap dalam biarpun dalam sistem pergiliran pemain. Berbeza pula dengan Spearing, dia kurang berpengalaman luas seperti Kuyt dan Maxi namun persembahannya ketika ketika menentang Brighton adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Kuyt dan Maxi dilihat kreatif dalam menjana serangan dan ini mampu menjadikan bahagian tengah Liverpool lebih berdaya saing.

5) Carragher Dimamah Usia ?

Prestasi Carragher seperti sudah jatuh menjunam kerana ini adalah kali kedua berturut menyumbang penalti kepada pasukan lawan.Namun, wajarkah dia dipersalahkan?? Pada pendapat Gatal Tangan adalah tidak. Bukannya suka dengan kesalahan Carra cuma jika dinilai kembali, prestasinya sepanjang perlawanan adalah antara pemain pertahanan Liverpool yang kerap membantu Reina dalam bertahan. Dia dilihat dekat dengan Reina dan banyak kali mematahkan serangan lawan cuma kita dikaburkan dengan kesalahannya di dalam kotak penalti.

6) Barisan Kesebelasan Utama Pilihan Gatal Tangan.

- Reina

- Kelly, Carra, Coates, Enrique

- Gerrard, Kuyt, Downing, Lucas

- Suarez, Bellamy

ATAU

- Reina

- Kelly, Carra, Coates, Enrique

- Gerrard, Kuyt, Adam, Downing, Lucas

- Suarez

Pemain seperti Doni, Carroll, Henderson, Spearing, Robinson, Maxi, Bellamy adalah antara pemain yang patut ada dalam senarai simpanan. Agger akan menggantikan Coates sekiranya sudah boleh beraksi nanti.

Sekian sahaja dari Gatal Tangan dan berharap agar prestasi cemerlang ini berterusan dan mentaliti seorang juara berjaya dipakukan dalam setiap minda pemain. Akhir kata dari saya, YNWA!!

 

 

REVIEW : Tottenham Hotspurs vs. Liverpool : 18 September 2011, White Hart Lane

Belum sembuh luka Liverpool FC (LFC) kesan dicalar oleh Stoke City, kini ditikam pula oleh Hotspurs. Memang pedih bila diingat semula 2 kekalahan berturut-turut. Sebagai penyokong setia; kita berhak untuk rasa kecewa tapi tak perlu rasa marah, gelabah apatah lagi berputus asa. Situasi sebegini sudah sinonim dengan penyokong LFC malah keadaan lebih parah dari ini juga pernah kita lalui.

Kita tinjau semula apa yang telah berlaku. Ada dikalangan peminat yang menyalahkan kesebelasan yang diturunkan. Saya tidak terkecuali dalam golongan itu tapi bukan di tahap menyalahkan King Kenny tapi “kurang faham” dengan tindakan beliau. Bermula dengan barisan pertahanan yang dikemudi oleh Carragher.Ternyata mereka tenggelam dalam rusuhan yang dibuat oleh pemain Spurs. Benteng LFC nampak begitu rapuh terutamanya di bahagian tengah. Pergerakan Skrtel jelas tidak seirama dengan Carra. Bukan sekali, malah banyak kali kedua-dua pemain ini menuju pada pemain Spurs yang sama. Sekiranya kedua-dua pertahanan membuat tindakan yang sama.. Soalannya; siapa yang bertindak sebagai sweeper? Kerana itulah bola kelihatan mudah masuk ke dalam kotak penalti LFC dan posisi Reina selalunya terdedah pada bahaya.

Skrtel juga jelas tidak berada dalam permainan sejak mula lagi. Clearance, back pass, short pass malah cara dia memintas bola juga kelihatan goyah. Agger pula terlalu berani dalam menerjah bola sedangkan beliau hanya perlu membuat “check” atau close-up. Mungkin kedatangan Coates dalam skuad mendorong pemain-pemain ini bertindak luarbiasa dan melakukan tindakan yang lebih menonjol dengan harapan kedudukan mereka dalam kesebelasan utama terjamin. Pujian harus diberikan pada Jose Enrique yang sangat konsisten sejak mula bermain dengan LFC. Setakat ini mutu permainannya bertambah baik tapi malangnya pemain ini kerapkali dibiar berlegar di sebelah kiri tanpa sokongan terutamanya pada separuh masa kedua dimana Enrique berjaya melepasi beberapa pemain Spurs tetapi bila melepasi garisan tengah tiada sokongan yang tiba. Akhirnya Enrique hilang penguasaan bola. Henderson yang ditugaskan berada di depan Enrique kerapkali “hilang” dari posisinya. Dia seakan tercari-cari watak sebenarnya. Mungkin dengan ketiadaan Adam yang diperintah keluar padang, Henderson mencuba untuk menyerap masuk bahagian tengah. Saya kira ini satu percaturan yang silap kerana ketika LFC masih bermain seramai 10 orang, Carroll boleh memainkan 2 peranan; feeder pada Suarez dan dalam masa yang sama dapat membantu tugas Lucas di tengah.

Saya tidak dapat mencari ayat yang tepat untuk barisan midfield LFC. Kurang bermaya, kurang kreatif, lemah ketahanan mental dan tidak berdaya saing adalah antara perkataan yang terlintas dalam fikiran saat ini. Seperti dijangka, soalan-soalan nakal mula terpacul dari mulut peminat LFC; adakah KK tersilap kerana melepaskan Aquilani secara pinjaman ke AC Milan? Adakah pembelian Adam dan Henderson berbaloi?

Saya tidak berada dalam posisi yang boleh menjawap soalan tersebut tetapi apa yang jelas adalah Charlie Adam dan Jordan Henderson adalah satu pembelian yang baik. Namun, apa yang dapat dilihat setelah 5 perlawanan kompetitif; Adam dan Henderson kelihatan tidak selesa bermain dengan pasukan besar seperti LFC. Tekanan terlalu berat buat mereka terutamanya untuk Adam sehingga mengganggu tumpuan dan corak permainannya. Adam dilabel antara midfield terbaik di EPL malah pujian itu pernah datang dari pengurus pasukan Syaitan Merah sendiri. Peminat mengharapkan Adam bermain sebaik Alonso dan seagresif Macherano. Tekanan ini dilihat keterlaluan buat Adam. Ini dibuktikan apabila Adam bermain untuk Scotland beberapa minggu lepas. Dia beraksi baik tetapi terjejas sedikit kerana cedera di bahagian pinggul. Tetapi apabila dia kembali bermain untuk LFC, dia gagal mengekalkan momentum tersebut. Malah, graf permainannya sangat jelas menurun jika dinilai dari penguasaan bola, hantaran jauh/dekat, sepakan sudut dan sepakan percuma. Saya berpendapat Adam patut direhatkan untuk beberapa perlawanan untuk memberi ruang padanya membina semula keyakinan dan mengasah ketajaman. Saya kira, tempoh penggantungan beliau kerana kad merah ini dapat digunakan sebaiknya oleh pengurusan LFC untuk “merawat” emosi dan mental Charlie Adam.
Lebih memburukkan keadaan, Hendo pula tidak dapat membawa tanggungjawap yang diberikan. Tetapi tidak adil juga jika kita meletakkan semua kesalahan pada bahu Hendo. Pada awal perlawanan Hendo berlegar di sebelah kiri dan dia kelihatan selesa dan dapat menjalankan tugasnya dengan baik. Tetapi setelah Adam dilayangkan kad merah, di saat itulah Hendo tampak bingung dan samasekali tidak bersedia menjalankan dua watak dalam satu masa. Selain berada di kiri, Hendo dikerah untuk membantu jentera serangan melalui tengah padang. Tekanan sedia ada dan tekanan tambahan semasa perlawanan tersebut memburukkan lagi keadaan. Hendo perlu lebih tenang di masa hadapan dan perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi apa jua keadaan di dalam perlawanan.

Apa yang pasti. Carroll sekali lagi mengecewakan. Saya tidak layak untuk mempertikai keputusan KK menurunkan Carroll dalam perlawanan ini tetapi saya lebih cenderung sekiranya Bellamy diberi tugas membantu Suarez di bahagian serangan. Perlawanan seumpama ini memerlukan pemain yang mempunyai keupayaan untuk memecahkan benteng dari luar kotak. Mengharapkan jaringan dari hantaran lintang setiap perlawanan menjadikan pasukan LFC terlalu mudah untuk diduga. Setidaknya, dengan menurunkan Bellamy, barisan pertahanan pihak lawan terpaksa mencongak corak serangan dan KK dapat mempelbagaikan strategi. Carroll bukan sekadar kurang berkeupayaan untuk mencipta sendiri peluang menjaringkan gol tapi kerapkali gagal menyempurnakan peluang terhidang. Pertahanan Spurs bertindak bijak dengan bermain rapat dengan Carroll kerana mereka tahu penyerang LFC ini kurang mahir dalam situasi close game dan sekaligus menipiskan peluang beliau untuk melakukan percubaan dari luar kotak.

Apa yang merunsingkan; Suarez kelihatan tidak gembira sepanjang perlawanan. Saya juga tidak menyalahkan Suarez kerana dia bermain sepenuh hati. Jika dia terpaksa mengundur hingga ke garisan tengah untuk mendapatkan bola, saya kira penyerang ini mempunyai seribu alasan untuk merasa kecewa. Midfield kurang membantu, winger pula terkial-kial membuat hantaran dan rakan penyerang pula kurang idea; menjadikan Suarez seakan keseorangan di hadapan.

Disebalik kelemahan yang terserlah, saya juga bersyukur dengan keputusan ini. Setidaknya KK dihadapkan dengan masalah semasa awal musim dan masih mempunyai masa dan tempoh yang panjang untuk memperbaiki kelemahan. Atau dalam bahasa yang mudah difahami oleh penyokong LFC, KK mempunyai ruang yang mencukupi untuk membaikpulih pasukan sebelum bertemu Syaitan Merah dan Iblis Biru. Saya juga berharap KK dapat menilai semula peranan Bellamy kerana pemain ini boleh mengubah keadaan dengan pengalaman, kelajuan dan kebolehannya. Sekiranya Carroll perlu direhatkan, maka tindakan ini perlu dibuat.

Saya tidak mahu menyentuh isu kad merah kerana kedua-dua pemain tersebut memamg layak diperintah keluar padang. Skrtel menutup kelemahannya mengawal Bale dan Adam pula gagal mengawal emosi. Agak keterlaluan, tapi tindakan mereka tersebut dilihat sedikit pentingkan diri sendiri. LFC dipaksa untuk menerima hukuman kerana kesilapan kedua-dua pemain ini.

Man of the match untuk perlawanan ini terpaksa saya serahkan pada Luka Modric. Pemain ini terlalu laju untuk dibendung oleh Agger dan hantarannya pada bahagian serangan terlalu istimewa. Tidak hairan mengapa Chelsea mengidam untuk dapatkan pemain ini.

Apa yang kita harapkan sekarang; KK mampu lakukan sesuatu untuk menaikkan semula semangat dan menutup mulut pengkritik yang semakin celupar dan berani. Malah, ada di kalangan peminat LFC sendiri kian berani memperlekehkan KK hanya selepas 5 perlawanan musim ini. Untuk peminat LFC yang agak kurang berpengetahuan tentang KK; adakah kejayaan merangkul kejohanan musim 1985/86, 1987/88, 1989/90 tidak mencukupi untuk dijadikan bukti. Jika tidak kerana kejadian berdarah di Hillsborough, saya amat yakin rekod kemenangan tersebut tidak berhenti setakat itu. Kita lupakan kekecewaan dengan Spurs dan kita teruskan melangkah ke hadapan. Lagipun, bukankah kita telah berikrar untuk terus menyokong LFC walau apapun keputusan dan keadaan? In King Kenny We Trust..

Keep the faith & Fly High Liverbird..

Dari Anfield Utama,

SHANKLY LIST.

Dari Blog Gatal Tangan : Spurs vs. Liverpool, Satu Pandangan.

Alhamdulillah.. kami menerima kehadiran seorang blogger yang ingin berkongsi pandangan beliau tentang perlawanan Liverpool menentang Tottenham Hotspurs semalam. Terima kasih saudara Zulqarnain atas sumbangan post beliau dan dharap dapat berkongsi dari masa ke semasa. YNWA!!

Gatal Tangan : Laporan Penuh Perlawanan Antara Tottenham – Liverpool.

Sudahlah jatuh, ditimpa tangga pula. Mungkin adalah pepatah yang sesuai benar dilabel keatas LFC serta penyokongnya. Tewas 4-0 ke atas Tottenham, kehilangan khidmat Adam dan Skrtel serta kekalahan yang paling teruk sejak tahun 2003. Mana silapnya?? Apa puncanya?? Siapa dalangnya?? Hari ini, walau dengan hati pilu, Gatal Tangan memberikan pandangan serta pendapat.

1) Pemain LFC Mudah Jatuh Moral.

Tottenham dilihat mendominasikan perlawanan sejak jaringan Luca Modric. Sejak dari itu kelihatan pemain LFC mula berkerut dahi dan bermain dibawah tekanan. Ditambah pula dengan asakan hebat dari Adebayor serta gerakkan berbahaya dari Modric kesilapan dari pertahanan mula menonjol dan akibat dari bermain dibawah tekanan, kekasaran menjadi pilihan kebanyakkan pemain dan Adam serta  Skrtel antara yang menerima padah dan dibuang padang.

2) Pemain Tengah Yang Kurang Kreatif.

Adam, Downing, Henderson, Lucas adalah antara yang pemain tengah yang bermula cemerlang pada permulaan musim namun, tenggelam baru-baru ini. Bukannya mereka tidak bagus tetapi mereka kurang kreatif dibahagian tengah. Mana-mana pasukan yang bermain bola sepak memerlukan pemain tengah yang kreatif namun, ke empat-empat pemain masih gagal dalam subjek kreatif. Adam bermain terlalu keras, Henderson kurang menyerlah, Downing gagal keluar dari kekangan pertahanan lawan manakala Lucas pula sering melakukan kesilapan kecil. Tetapi dari segi hantaran dan sokongan ke atas penyerang, Suarez dan Carroll adalah tidak memuaskan. LFC ada dua penyerang yang mampu memberikan pelbagai jenis hantaran…bola tinggi boleh dihantar ke Carroll, bola rendah boleh dilorong ke arah Suarez…gerakan satu dua boleh dijalankan oleh pemain tengah dengan kedua-dua penyerang namun itu jarang-jarang berlaku!! Persoalan mengapa Gerrard tidak dibawa masuk adalah antara persoalan yang tidak dapat dijawab lagi.

3) Barisan Pertahanan Dalam Bangku Simpanan Diragui.

Sebastian Coates dimasukkan bagi menggantikan Agger yang mengalami kecederaan dan sejak dari itu dilihat dia masih memerlukan banyak latihan serta memperlajari corak permainan inggeris kerana dia juga antara pemain yang kerap melakukan kesilapan dibahagian pertahanan. Adalah baik sekiranya pertahanan semalam bermula dengan Kelly dibahagian pertahanan kanan dan Carra dan Agger ditengah serta Enrique di kiri. Sekiranya Agger atau Carra cedera atau dikenakan kad, Skrtel ada didalam pertahanan dan ini adalah lebih baik dari menurunkan pemain yang kurang berpengalaman dalam perlawanan yang dilihat genting.

4) Bahagian Serangan LFC Kurang Tajam Dan Carroll Masih Gagal.

Ibarat seperti tidak berfungsi….bermain sepanjang perlawanan namun sumbangannya masih tidak sampai… Dijangka dikeluarkan namun, Suarez pula yang dibawa keluar dengan menggantikan Craid Bellamy dan Carroll masih lagi gagal dengan peluang yang diberi dan saya berasa, dia samakin kehilangan tempat dalam kesebelasan utama musim ini. Ada baiknya pula Suarez dibawa keluar kerana dia antara pemain yang dipandang keras oleh mana-mana pengadil kerana sering mempertikaikan keputusan pengadil dan ini adalah pantang yang perlu dijaga oleh Suarez. Kemasukan Bellamy pula pada saya adalah terlambat.

5) Pemilihan Pemain yang Kurang Efektif.

Pada pendapat saya, pemain yang perlu dimasukan pada permulaan permainan adalah…:

- Serangan : Suarez dan Bellamy.

- Tengah : Adam (Tengah), Downing (Kanan), Kuyt (Kiri), Lucas/Spearing (Belakang).

- Bawah : Kelly (Kanan), Carra dan Agger (Tengah), Enrique(Kiri)

Ketiadaan Kuyt adalah sedikit merencatkan LFC terutama dalam gerakkan menyerang. Kuyt bukan sahaja berstamina tinggi malah, dia mampu memegang bola dengan lama dan ingat, jaringan tidak boleh terjadi sekiranya bola tiada. Kemasukkan Bellamy juga sudah terlambat. Gandingan Bellamy dan Suarez mungkin adalah antara gandingan yang mantap berbanding Suarez dan Carroll. Kelly juga sepatutnya dimasukkan kerana dia adala antara pemain pertahanan yang sering membantu gerakkan menyerang.

6) Pengadil Sekali Lagi Menganak Tirikan LFC.

Bagaikan sudah benci dengan LFC, pengadil dilihat lebih cenderung meletakkan kesalahan keatas pemain LFC berbanding lawannya. Seperti sudah berpakat atau dibayar, LFC adalah antara kelab bola sepak yang dilanda masalah pengadilan untuk musim ini.

Awan yang mendung tak semestinya hujan dan hujan tidak semestinya mengakibatkan banjir. When you walk through the storm, Hold your head up high, And don’t be afraid of the dark, At the end of the storm, There’s a golden sky….Walk on, through the wind, Walk on, through the rain, Though your dreams be tossed and blow…” Mungkin ungkapan “In King Kenny We Trust” sudah mula retak namun lirik diatas adalah benar belaka. Kejatuhan adalah batu atau tapak untuk kita berpijak bagi mencapai kejayaan tetapi bagaimana kita meletakkan tapak itu adalah persoalannya. Kedudukan empat teratas adalah sesuatu yang tidak mustahil bagi LFC dan saya sebagai penyokong LFC yakin akan kembalinya LFC dilandasan sebenar dan akhir kata dari saya, YNWA!!!

Yang Tidak Berjalan Seorang,

MUHAMMAD ZULQARNAIN

Blog Gatal Tangan

http://gatal-tangan.blogspot.com

REVIEW : Stoke city vs. Liverpool : 10 September 2011, Britannia Stadium.

Setelah melalui 3 perlawanan dengan keputusan 1 seri dan 2 menang, akhirnya anak-anak buah King Kenny (KK) dan seluruh penyokong Liverpool FC (LFC) dipaksa untuk kembali ke bumi nyata setelah lama terapung-apung menikmati keputusan yang baik. Lebih menyedihkan, LFC ditarik semula mencecah bumi oleh pasukan yang menduduki tempat ke13 pada musim 2010/2011 yang lalu.

Terlalu banyak yang boleh diperkatakan dalam perlawanan ini; samada dari sudut positif mahupun negatif. Bukan sekadar penilaian tentang taktikal dan formasi malah keputusan perlawanan ini dengan secara automatiknya membuka pintu penilaian seluas-luasnya kepada golongan yang selama ini menggelarkan diri mereka peminat LFC.

Sebenarnya sekitar jam 5.30 petang; sebelum perlawanan bermula, saya sempat menghantar post di group Liverbird Football Club Malaysia memaparkan rekod LFC yang nyata tidak memberangsangkan apabila bermain di Stadium Britannia sejak 2008 dan LFC perlu berhati-hati melayan pasukan The Potters ini. Post saya disambut oleh ahli group yang rata-ratanya memberi komen begitu yakin bahawa LFC akan membawa pulang 3 mata penuh. Saya hanya dapat menjawap pada komen tersebut dengan menulis “confident sangat penting untuk pemain tetapi over-confident amat bahaya untuk pasukan..”

Menyentuh tentang over-confident; formasi 4-5-1 yang ditentukan oleh KK pada awal perlawanan juga menjurus pada tahap keyakinannya yang amat tinggi. Mungkin kejayaan memecahkan tembok badi di Stadium Emirates pada 20/08/2011 yang lalu menaikkan lagi tahap keyakinan ini. Logiknya, formasi ini dilihat amat sesuai dan boleh membuahkan hasil yang baik. Suarez ditugaskan menjadi lone striker sambil Kuyt memainkan watak feeder. Adam dan Lucas pula bertindak mengawal bahagian tengah manakala Downing dan Henderson menjana serangan dari sayap jika perlu. Tiada masalah bukan?? Tapi siapa yang dapat menjangka Stoke mendapat “hadiah Raya Aidilfitri” dari pengadil perlawanan, Mark Clattenburg seawal minit ke21. Jonathan Walters dengan tenang menjaringkan gol dan sekaligus mengubah corak permainan.

Berbalik pada penalti; ramai penyokong LFC mula mempertikaikan sumbangan Carragher. Jujurnya, Carra berada di tempat yang betul tetapi sedikit perlahan untuk memintas pergerakan Jonathan Walters. Peminat LFC berpendapat Carra tidak lagi sesuai untuk diturunkan dalam kesebelasan utama kerana rentak permainan semakin laju manakala Carra pula semakin perlahan. Saya bersetuju tetapi saya juga perlu berlaku adil pada Carra. Tahukah anda bahawa tahap permainan Carra semakin meningkat pada musim 2010/2011 berbanding 2009/2010? Statistik membuktikan bahawa Carra berjaya membuat 855 clearance dari kawasan bahaya musim lepas berbanding hanya 68 pada musim 2009/2010. Begitu juga dengan kejayaannya memintas bola sebanyak 199 berbanding hanya 22 dan kejayaan membuat blocking di depan pintu gol sebanyak 106 kali berbanding 20 kali untuk dua musim sebelum ini. Tidak dinafikan, pergerakan Carra tidak sepantas dahulu tetapi tidak adil untuk kita menghukum pemain ini hanya dengan satu kesilapan. Tambahan pula, ulang tayang tidak menampakkan bahawa tindakan Carra sebagai satu kesalahan yang boleh mengakibatkan penalti.

Setelah ketinggalan dengan sepakan penalti tersebut, LFC masih bermain dengan formasi sama walaupun Tony Pulis sudahpun mengarahkan benteng pertahanan ditambah. Dengan jelas kita dapat lihat Matthew Etherington, Jermaine Pennant dan malah Rory Delap juga dikerah ke bahagian pertahanan selepas Stoke mendapat gol dari sepakan penalti tersebut. Formasi hanya ditukar kepada 4-4-1-1 semasa babak kedua bermula dimana Kuyt ditugaskan berada di belakang Suarez. Kuyt diharap dapat lebih banyak melorongkan bola pada Suarez dan dalam masa yang sama menjadi decoy bagi menarik perhatian full back. Kaedah ini kurang berkesan kerana malang bagi KK, midfield LFC memilih malam tersebut untuk bermain di bawah kemampuan mereka yang sebenar. Charlie Adam dilihat kurang menjadi. Begitu juga dengan Jordan Henderson. Lucas pula seperti tidak wujud dalam permainan tersebut. Untuk bermain 4-4-1-1; midfield perlu mempunyai ketepatan dalam membuat hantaran samada jauh mahupun dekat terutama pula perlu berdepan dengan pertahanan yang mencecah angka 7 hingga 8 orang.

Mutu permainan Charlie Adam pula menurun secara tiba-tiba jika dibandingkan dengan perlawanan sebelum ini menentang Bolton. Hantaran yang mudah dipintas, kawalan bola yang tidak rapi malah tacklenya juga tidak bersih. Lebih mengecewakan, Adam gagal mencuri satu gol apabila beliau hanya berdepan dengan penjaga gol sahaja. Begitu juga dengan Downing dan Henderson. Memburukkan lagi keadaan, Suarez juga tidak menyengat seperti biasa. Beberapa kali Suarez terkandas untuk melepasi barisan pertahanan. Malah gagal menyempurnakan gol pada minit terakhir perlawanan apabila gawang terbuka luas. Inilah keburukannya bermain dengan mempertaruhkan seorang penyerang untuk mendapatkan gol. Bukan bermakna Suarez tidak cukup bagus untuk dimainkan watak begitu tetapi jumlah pertahanan lawan yang ramai menyukarkan lagi tugas Suarez.

Anehnya, KK menunggu sehingga minit ke 70 untuk menukar strategi. Menambahkan jumlah penyerang dengan memasukkan Carroll dan Bellamy dilihat sebagai agak terlambat. Apabila melihat Stoke seakan berpuashati dengan bermain dalam kawasan sendiri, KK menukar corak permainan kepada 4-3-3. Lebih banyak peluang tercipta dengan bermain dalam strategi sebegini. Saya bertanyakan pada diri saya sendiri; adakah keputusan ini berbeza jika KK menukar pemain lebih awal kerana sebelum pertukaran ini LFC masih mengharap bola hantaran dari sayap. Peluang untuk mendapatkan gol terlalu tipis kerana kawasan kotak penalti dibanjiri dengan pemain Stoke. Barisan pertahanan perlu dipecahkan melalui tengah dengan mengumpan seberapa ramai pertahanan keluar dari kotak penalti. Disinilah letaknya keistimewaan Bellamy dan dia patut dimainkan lebih awal. Kebolehannya menggelecek dan kepantasannya boleh dijadikan senjata untuk tujuan ini. Malangnya, Bellamy dimasukkan sedikit lewat. Kemasukkan Carroll pula saya lihat sekadar mewujudkan diversion dan cuba menarik pertahanan untuk mengawal beliau dan dengan harapan dapat memberi ruang yang lebih luas pada Suarez untuk bergerak.

Mungkin ini dilihat sebagai alasan biasa tetapi dakwaan KK ada kebenarannya. Pengadil sekali lagi “berjaya” menyumbang pada keputusan ini. Hand ball dilihat berlaku dua kali dalam kotak penalti Stoke ke tapi tidak dapat dilihat oleh pengadil bertugas. Malah, pemberian hadiah penalti pada Stoke juga mengakibatkan corak permainan berubah. Gol awal yang mereka berjaya kecapi menjadikan perlawanan ini sehala. 24 kali percubaan ke arah gol dengan 7 kali tepat LFC lakukan berbanding hanya 3 dari Stoke dan yang paling utama penguasaan bola sebanyak 73% membuktikan betapa padatnya dalam kotak kotak penalti Stoke City. Corak permainan bertahan Stoke juga tidak mungkin berlaku kerana mereka juga masih perlu mencari jaringan.

Man of the match untuk perlawanan ini tidak disangkal lagi patut diberikan pada penjaga gol Stoke City iaitu Asmir Begovic.

Kesimpulannya; LFC perlu lebih berhati-hati dalam perlawanan seterusnya. Tottenham Hotspurs bukannya lawan mudah malah lebih liat berbanding Stoke City. Persoalannya, adakah persembahan hambar Charlie Adam akan menjejaskan peluangnya kerana kebetulan berita kembalinya Super Stevie semakin hangat diperkatakan. Manakala, KK perlu memikirkan semasak-masaknya watak Carroll yang agak terhad kerana Bellamy dilihat lebih agresif dan pantas.

Kita berjumpa lagi dalam perlawanan seterusnya, YNWA!!

FLY HIGH LIVERBIRD..

Dari Anfield Utama,
SHANKLY LIST

PENULIS TAMU : Berbaloikah Liverpool Dapatkan Kembali Bellamy?

Craig Bellamy kembali bersama the Reds. Empat tahun selepas meninggalkan Anfield dan Rafa Benitez, Bellamy sekali lagi menjadi pemain Liverpool.

Ketika beliau menanti di Cardiff pada 31 Ogos untuk masa depannya ditentukan oleh Kenny Dalglish atau Harry Redknapp atau mungkin Cardiff City sebagai salah sebuah kelab Inggeris yang berminat, Bell…amy turut sedar bahawa ada kelab di Moscow yang sedia menerbangkannya dengan jet peribadi ke Russia.

Ia perlu dipertimbangkan namun apa yang Bellamy mahukan ialah kepastian dan bukannya pengembaraan baru. Pemain Wales berusia 32 tahun ini melihat pengembaraannya di Manchester City tersekat, dek kerana sikap dingin Roberto Mancini. Bukan saja hubungan dingin mereka, aspek ekonomi juga perlu dipertimbangkan. Bellamy masih ada kontrak setahun di City – dengan gaji sekitar £4.5 juta. Ia jumlah yang memang cukup besar.

Namun satu perjanjian telah dipersetujui, kerugian sedia ditanggung. Ia meletakkan beliau sebagai pemain perpindahan percuma – walaupun jangan dilupakan gaji yang bakal diterimanya di Anfield. Namun Liverpool telah puas mencongak dan ia mungkin boleh menjadi perpindahan paling berbaloi musim panas ini.

Apa yang dimahukan Bellamy, sama seperti pemain lain, untuk rasa disayangi — mungkin sedikit sudah memadai. Dalglish dan Liverpool telah menawarkannya. Apa yang ditawarkan Bellamy kepada mereka ialah kesanggupan untuk berkerja-keras seperti mana Dirk Kuyt dan di kedua-dua belah sayap. Beliau menjadi pilihan yang terlalu bagus untuk ditolak oleh Dalglish.

Apa yang turut diberikan Bellamy ialah kasih sayang sebenar dan pemahaman sebenarnya terhadap kelab. Mungkin ada penyokong City yang berasa skeptikal apabila Bellamy menceritakan rasa hormatnya kepada Dalglish kerana pada mereka ia hanyalah kerana faktor wang semata-mata.

Memuji Dalglish, Bellamy berkata: ‘Untuk setiap penyokong Liverpool, Kenny mungkin pemain terbaik yang pernah menyarung jersi merah jadi ia dengan sendiri telah menceritakannya. Beliau adalah pemain-pengurus pertama yang memenangi kejuaraan Berganda dan lihat saja cara beliau menjaga perilakunya.’

Namun apa yang dikatakan Bellamy itu tiada bezanya dengan apa yang dikatakan beliau semasa berada di Cardiff enam bulan yang lalu.

Ketika itu, pemain yang diketepikan Mancini, pemain yang dipinjamkan selama semusim di tempat kelahirannya, mengulas tentang karier yang bermula seawal usia 15 tahun di Norwich dan telah membawanya mengembara ke Coventry, Newcastle, Celtic, Blackburn, West Ham, City dan sudah tentu Liverpool.

Inilah yang dikatakannya.

‘Liverpool, saya menyokongnya sejak kecil. Memang hebat untuk melihat Dalglish berada di situ ketika ini, ia memberikan dorongan kepada saya. Saya menyukai mentaliti Boot Room — inilah yang menjadikan Kelab Bolasepak Liverpool. Apabila anda menyokong sebuah kelab, anda perlu memahami kenapa. Apa yang menjadikannya cukup hebat? Kemasukan Shankly, Boot Room — mereka semua duduk dalam satu bilik, lima atau enam orang dan tiga dari mereka kemudiannya memenangi Piala Eropah!

‘Betapa hebatnya perbualan yang mereka ada pada setiap minggu. Dan jika anda berada di situ, anda tidak hanya mendengar dan bersetuju, mereka bertanya pandangan anda. Mereka saling melengkapi satu sama lain. Dari ruang sempit itu mereka mencipta sebuah kelab.

‘Saya melihatnya dan merasakan sesuatu untuk kelab … tapi kini Dalglish telah kembali dan saya hanya berdoa agar semuanya berjalan lancar. Setakat ini ia memang bagus — (Luis) Suarez, pasti menyeronokkan untuk melihat bagaimana sumbangan Andy Carroll. Serba sedikit ia menyentuh perasaan saya.’

Bellamy memberikan pujian yang besar untuk Norwich dan West Ham serta memuji bakat pengurusan Redknapp jadi ia bukanlah satu rayuan untuk mendapatkannya. Bellamy ketika itu lebih mahukan perpindahan kekal ke Cardiff.

Namun harapan mereka untuk naik divisyen telah pudar dan pemilik kelab dari Malaysia tidak mampu untuk mengekalkan khidmat Bellamy.

Ia mewakili penyelesaian impian untuk pemain sayap. Dalam karier terdahulunya di Anfield, Bellamy memberitahu Benitez tidak meyakininya. Namun beliau masih mampu bermain dalam 42 perlawanan dan walaupun insiden kayu golf dengan John Arne Riise tidak akan dilupakan, gol Bellamy di Nou Camp turut tetap dikenang kerana ia membantu menyingkirkan Barcelona – yang dibarisi Xavi, Messi, Ronaldinho — dari Liga Juara-juara.

Liverpool mara ke final menentang AC Milan. Bellamy memanaskan bangku simpanan; Jermaine Pennant di bahagian kanan midfield, Boudewijn Zenden di bahagian kiri. Jadi Bellamy berhijrah ke West Ham, di mana beliau bertemu Steve Clarke dan Kevin Keen, yang kini menjadi jurulatih di Liverpool. Dalglish tidak mengharapkan Bellamy, di usianya, untuk bermain setiap minggu. Pemain ini mengalami kecederaan teruk kebelakangan ini namun musim lepas berjaya bermain dalam 35 perlawanan untuk Cardiff di Liga Kejohanan termasuk perlawanan dengan Wales.

Bellamy memberitahu pulang ke tempat asalnya di Cardiff telah mengubah keperibadiannya. Beliau sudah tidak lagi ‘baran’. Mungkin ada yang sukar mempercayainya tapi rekod menunjukkan Bellamy hanya sekali dibuang padang sejak 2002. Kini beliau kembali menjadi the Reds.

Mikael Hidayat.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.